JULAI 2023

Syarikat Australia Pilih Sarawak Bina Kilang Magnesium


KUCHING: Syarikat Latrobe magnesium Group dari Australia memilih Taman Perindustrian Samalaju di Sarawak bagi membina kilang magnesium pelepasan rendah karbon.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dimaklumkan keputusan itu oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu, David Peterson yang mengadakan kunjungan hormat kepadanya di sini, hari ini.

"Projek yang dicadangkan itu bernilai RM3 bilion akan menghasilkan 100,000 tan magnesium setiap tahun," katanya dalam kenyataan media.

Syarikat terbabit membuat keputusan itu kerana kagum dengan banyak kelebihan perbandingan Sarawak termasuk kuasa hidro hijau dan infrastruktur yang baik bagi projek itu. 

Manakala, Awang Tengah yang mengalu-alukan keputusan syarikat Australia itu akan membantu memudahkan pelaburan mereka.

Di samping itu, beliau juga menerima kunjungan dari Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Bakke Salleh bagi membincangkan perkara berkaitan operasi syarikat tersebut di Sarawak.

"Pertemuan tersebut juga turut membincangkan iau berkaitan eksplorasi minyak dan gas di negeri ini," menurut kenyataan itu.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri, Datu Abdullah Zaidel, Penasihat Peguam Negeri, Dato Sri JC Fong, Setiausaha Tetap MUDeRN, Datu Zaidi Mahdi, Pemangku Setiausaha Tetap Mintred Dzulkornain Masron, Penasihat MINTRED Dato Naroden Majais dan Ketua Pegawai Eksekutif Petros, Janin Girie.

Sumber dari : Jiwa Bakti